Showing posts with label aSc Timetables. Show all posts
Showing posts with label aSc Timetables. Show all posts

Pembinaan Jadual Waktu Kelas dan Subjek Menggunakan Perisian aSc TimeTables

Salam sejahtera.

Cuti akhir tahun 2012 sudah pun bermula namun bagi guru yang bertanggungjawab membina dan menyusun jadual waktu kelas serta mata pelajaran, waktu cuti sekolah hampir tidak dapat dirasai sehinggalah tugas membina jadual waktu siap sepenuhnya.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai guru yang terlibat membina jadual waktu, perkara akan menjadi rumit dan amat membebankan jika tugasan diberikan dan perlu disiapkan dengan seberapa segera. Pembinaan jadual waktu akan bertambah 'memeningkan kepala' apabila terdapat perubahan di saat-saat akhir.

Pada tahun ini, saya diberikan draf agihan dan pecahan waktu mengajar guru mengikut kelas dan mata pelajaran selepas keputusan pertukaran guru dikeluarkan pada 3/11/2012 untuk memastikan tiada perubahan pada jadual berlaku. Kemudian, apabila draf dipaparkan kepada semua guru, ada dalam kalangan guru yang tidak berpuas hati dan akhirnya ia dirombak semula. Begitulah senario proses pembinaan jadual waktu yang 'memenatkan'.

Akhirnya waktu cuti sekolah menjadi waktu yang paling sesuai untuk membina jadual waktu dengan tenang dan tanpa diganggu.
 

Perisian aSc TimeTables




Dalam membina jadual waktu, pelbagai cara dan kaedah akan digunakan untuk menyusun jadual waktu kelas serta mata pelajaran supaya jaudal waktu tersebut mengikuti standard yang telah ditetapkan serta memastikan jadual waktu tersebut tidak bertembung dengan guru-guru lain dalam satu kelas yang sama. 

Ia adalah tugas yang amat rumit dan memerlukan pemerhatian serta kecekapan yang tinggi. Apatah lagi kalau jumlah guru yang sedikit dan pembahagian mata pelajaran tidak adil. Tentu amat menyulitkan.

Namun, masalah ini dapat dikurangkan dan pembinaan jadual waktu menjadi lebih terancang dan mudah dengan menggunakan perisian aSc Time Tables. Perisian ini boleh digunakan dengan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia. Ini akan memudahkan penguna memahami cara mengunakan perisian ini. Bagi pengguna baru, tutorial juga ada disertakan. Tutorial ini akan mengajar pengguna menggunakan perisian ini dengan betul.

Perisian aSc TimeTables boleh dimuat turun secara percuma namun mempunyai banyak kekurangan iaitu banyak fitur (features) tidak aktif. Perisian versi percuma ini sudah cukup bagi membina jadual waktu namun adalah lebih baik ia dibeli untuk mendapat perisian yang lebih lengkap.

Pembinaan Draf Jadual Waktu


Terdapat beberapa langkah awal yang perlu dilakukan secara manual. Antaranya ialah:

1. Penentuan guru-guru kelas.
 
2. Penelitian terhadap prasyarat-prasyarat khas yang ditentukan seperti di dalam pekeliling khususnya KSSR dan KBSR.
 
3. Prasyarat khusus untuk GB, GPK, Guru Penyelaras Bestari, Guru Data, Guru Perpustakaan & Media, Guru Disiplin dan yang berkaitan.
 
4. Prasyarat pembahagian susunan dan berapakah waktu single dan double.
 
5. Prasyarat dalaman seperti menggabungkan 2 kelas Pendidikan Moral menjadi 1 kelas sahaja pada waktu Pendidikan Islam.
 
6. Menentukan guru yang berpasangan, seperti guru jQAF dan Guru Pemulihan Khas.
 
7. Mentiadakan waktu PJ pada hari Isnin kerana perhimpunan rasmi.
 
8. Menjadikan kelas PJ tahap 2 serentak 3 atau 2 kelas dengan diajar oleh guru lelaki dan guru perempuan supaya memungkinkan pengasingan murid L/P jika diperlukan.
 
9. Menjadikan kelas B. Cina 1 kelas dan B. Tamil 1 kelas pada waktu serentak dengan waktu B. Arab.
 
10. Penetapan kelas ke bilik-bilik khas seperti makmal komputer, makmal sains, bilik moral, bilik pemulihan.
 
11. Menyediakan draf induk secara manual atau dalam microsoft excell yang mengandungi:
 
  • Kolum 1: Kelas-kelas dari darjah 1 hingga 6
  • Kolum 2: Guru kelas masing-masing
  • Kolum 3: Guru-guru untuk subjek BM
  • Kolum 4: Guru-guru untuk subjek BI dan subjek-subjek seterusnya.

Pembinaan Jadual Waktu Menggunakan Perisian aSc TimeTables


1. Download aSc software di sini (free unlimited trial!). Lebih baik perisian dibeli melalui pengedar yang sah.
2. Install
3. Mulakan software
4. Semak tutorial
5. Mulakan satu jadual baru (create new)
6. Isikan data asas
7. Isikan data semua matapelajaran
8. Isikan data semua kelas
9. Isikan data semua bilik khas spt makmal, bilik media dll
10. Isikan data semua nama guru
11. Isikan data pengajaran (lessons)
12. Semak semua data mengikut peruntukan KBSR dan KSSR.
13. Uji dan jana (Test & generate)
14. Jadual pun siap. ( jadual boleh dimurnikan lagi secara manual)


Perincian Data Input


Perkara penting:
 
1. Bagaimana saya boleh menyusun data guru, kelas, matapelajaran dan bilik khas mengikut susunan abjad?
 
2. Time-off, iaitu waktu rehat guru yang boleh ditetapkan secara khusus.

Data Mata Pelajaran

 
1. Menentukan waktu: single, double atau mungkin triple period.
 
2. Menentukan sesuatu matapelajaran di Bilik Khas spt Makmal Sains.

3. Menentukan time-off bagi sesuatu mata pelajaran seperti menghalang P. Jasmani (PJ) yang tidak sesuai pada hari Isnin kerana murid diwajibkan berpakaian rasmi pada hari Isnin. Manakala P. Kesihatan dibolehkan.

Data Kelas 


1. Menentukan time- off iaitu waktu rehat kelas terutamanya perbezaan bagi tahap 1 dan tahap 2.
 
2. Menentukan Division, iaitu pembahagian murid di dalam kelas kepada beberapa kumpulan spt murid P.Islam dan Murid P.Moral, mungkin juga murid pemulihan.
 
3. Menentukan Joint kelas, iaitu penggabungan 2 division menjadi satu kelas, spt menggabungkan dua atau tiga kelas P.Moral menjadi satu kelas yang berasingan pada waktu yang sama.

Data Guru


1. Menentukan Time- off iaitu waktu rehat guru terutamanya GB, GPK dan guru tahap 1 dan 2.
 
2. Menentukan guru-guru kelas.
 
3. Menyemak jumlah waktu mengajar setiap guru dalam seminggu.
 
4. Menentukan jumlah waktu mengajar maksima guru dalam sehari supaya tidak lebih 8 waktu.
 
5. Menentukan nama ringkas guru.

Kursus Pembinaan Jadual Waktu Sekolah Tahun 2012

 

Salam sejahtera.

Pada 24 November 2011 bersamaan hari Khamis yang lepas, saya telah menghadiri satu kursus iaitu kursus bagaimana hendak menjana jadual waktu kelas dan individu (setiap guru) bagi  kegunaan tahun 2012. Kursus ini dianjurkan oleh Majlis Pemuafakatan Guru Penolong kanan (MEKAR) PPD Petaling Perdana.

Ia diadakan di SK Dato Onn Jaafar, Kompleks Sekolah Wawasan, USJ 15, Subang Jaya, Selangor. Kursus bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 3.30 petang di auditorium sekolah tersebut.

Kursus ini memang amat berguna terutamanya kepada guru-guru yang terlibat dengan pembinaan jadual waktu di sekolah. Ia menggunakan sejenis perisian antarabangsa iaitu aSc  Timetables. Saya sebagai Penyelaras Jadual Waktu Sekolah bertanggungjawab untuk menyiapkan dan seterusnya mengedarkan jadual waktu sebelum 7 hari sesi persekolahan 2012 bermula.

Waduh, stress-stress!

Semasa hari kursus, saya hanya sempat memasukkan data mentah seperti nama setiap guru, matapelajaran yang akan diajar dan nama setiap kelas yang terlibat. Saya tidak sempat pun untuk menjana jadual waktu semasa kursus. Hampir kesemua guru mengalami keadaan yang sama seperti saya, tambah-tambah lagi guru-guru sekolah menengah. Dalam hati saya berbisik, alangkah beruntungnya saya kerana menjadi guru sekolah rendah.

Ada beberapa perkara yang membuatkan saya sedikit terkilan dengan pihak penganjur, antaranya :

1. Hampir semua peserta menggunakan komputer riba (notebook , laptop) manakala tempat duduk yang disediakan adalah kerusi yang mempunyai meja kecil bahagian tepi. Saiz komputer riba saya yang besar memang menyukarkan saya untuk melakukan kerja yang sepatutnya.

2. Bilangan peserta kursus yang ramai menambahkan lagi 'kesesakan' di dalam bilik tempat kursus.

3. Wayar-wayar penyambung ke komputer riba masing-masing berselerakan di atas lantai yang tidak sama aras ketinggiannya.

4. Kedudukan kerusi sangat rapat antara satu sama lain. Pendek kata sesak nafas saya dibuatnya.

5. Penceramah kelihatan kurang bersedia sehingga beliau lupa cara-cara bagaimana hendak mengoperasikan sistem tersebut pada bahagian-bahagian tertentu. (Fuhh!)

Walau apapun, saya berterima kasih kepada pihak MEKAR atas usaha mereka membantu para guru yang dilantik sebagai AJK Jadual Waktu Sekolah dalam membina jadual waktu dengan lebih sistematik dan mudah.